Perjuangan Mogok Kelang 1941 - Memperingati “Rengasamy, Yellumalle, Mayandy, Anggapan dan Konneri”
Lazimnya sambutan Hari Pekerja di negara kita sering dikaitkan dengan sejarah perjuangan golongan proletariat di Barat. Seringkali ini menjadi habuan untuk golongan anti-barat dan fundamentalis yang bertanggapan golongan pekerja di Malaysia mudah dipesongkan akidahnya kerana terlalu bergantung dan “pandang barat” terutama apabila kita berbicara topik perjuangan golongan pekerja untuk hak asasinya. Malah kita seakan-akan dilihat bagai ketandusan modal dan terpaksa mencedok inspirasi yang lahir daripada insiden-insiden perjuangan berdarah yang berlaku di Barat untuk menjustifikasikan sambutan Hari Pekerja di negara kita.
Tanggap negatif inilah yang menyebabkan saya teruja untuk membelik lembaran sejarah perjuangan pekerja di negara kita. Sayang sekali, banyak perjuangan pekerja di negara kita telah dilabelkan sebagai aktiviti-aktiviti subversif golongan komunis oleh pemerintah. Selain menyifatkan tahun 1946 and 1947 sebagai “the troubled years”, British juga melabel and mengkategorikan pemimpin-pemimpin buruh seperti P.Veerasenan and C.S.K Murthy sebagai agen komunis walaupun pada hakikatnya perjuangan mereka benar-benar berlandaskan hak asasi dan bukan untuk kepentingan Parti Komunis Malaya sama sekali.
Justera, terpaksa saya menyingkap perjuangan pekerja yang berlaku sebelum Perang Dunia Kedua yang tidak dicemari dengan tohmahan dan pengaruh komunis. Maka, hanya satu perjuangan sahajalah yang dapat saya utarakan dalam tulisan ini iaitu perjuangan pekerja ladang getah di Selangor yang berlaku pada tahun 1941 yang dikenali dengan nama “The Klang Strike 1941” – Mogok Kelang 1941. Malah British sendiri mengakui bahawa mogok ini bebas daripada sebarang pengaruh komunis setelah segala usaha untuk mengkaitkan perjuangan ini dengan elemen komunis gagal.
Walaupun ramai yang berpendapat Mogok Kelang 1941 tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk melahirkan aspirasi perjuangan pekerja di negara kita kerana ianya hanya melibatkan satu kaum tertentu sahaja, pengkaji sejarah Tai Yuen dalam tulisannya “Labour Unrest In Malaya, 1934 - 1941 - The Rise of the Workers' Movement", menyifatkannya mogok ini sebagai yang terbesar, terancang , tersusun dan paling militan yang pernah dilihat oleh British. British di Malaya tidak pernah menyangka kaum proletariat imigran India yang diperlakukan sebagai hamba mampu bangun menentang kezaliman. Mereka berorganisasi, membentuk kesatuan pekerja dan bermogok untuk memperjuangkan nasib mereka. Yang paling menarik, ramai antara pemimpin kesatuan ini terdiri daripada golongan muda kelahiran tempatan yang berumur antara 15 sehingga 20 tahun. Semasa perundingan dengan golongan kapitalis pemilik ladang, golongan ini amat jelas dan tidak berganjak daripada pendirian dan tuntutan mereka sehinggakan laporan polis melabelkan mereka sebagai golongan yang “panas-baran” dalam berurusan dengan golongan majikan kerana tidak dapat lagi menanggung penderitaan di bawah rejim kapitalis pemilik ladang.
Sebelum kita berbicara terus tentang mogok ini, adalah penting untuk memahami pembentukan dan peranan Kesatuan India Daerah Kelang (Klang District Indian Union - KDIU) dalam mogok ini. KDIU ditubuhkan pada 22 Julai 1939 hasil usaha dua individu yang sering kali disebut iaitu R.H Nathan dan Y.K Menon.
R.Halashiya Nathan yang berasal dari selatan India berhijrah ke Malaya dalam tahun 1936 pada usia 24 tahun. Beliau tinggal bersama abangnya, seorang jurualih bahasa di mahkamah di Kelang. Pada tahun 1937, beliau mula berkerja sebagai kerani di Paterson & Simons di Port Swettenham (Pelabuhan Kelang). Walaupun Nathan merupakan penyokong tegar Pergerakan Dravida atau dikenali dengan Self-Respect Movement di India, Nathan meninggalkan pergerakan tersebut untuk menyertai pergerakan sosialis dalam Kongres Nasional India (India National Congress). Berikutan pemecatan R.H Nathan pada Mac 1940, dari Paterson & Simons kerana propaganda sosialisnya, Nathan menyertai akhbar "The Singapore Herald" seketika sebelum menjadi Penolong Editor dengan akhbar Tamil Nesan.
Y. Kesava Menon pula merupakan kerani di sebuah ladang dan aktif dalam kegiatan komuniti pekerja India di Selangor. Beliau bersama Nathan juga terlibat dalam mogok kesatuan pekerja Keretapi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1939. Nathan and Y.K Menon juga merupakan ahli Persatuan Pusat India Malaya atau Central Indian Association of Malaya (CIAM).
CIAM yang dibentuk pada tahun 1937 adalah organisasi induk bagi banyak kesatuan seperti KDIU dan aktif di kalangan orang India di Kelang. Sejak penubuhan, CIAM didominasi oleh golongan profesional seperti peguam, doktor, ahli perniagaan, penjawat awam dan lain-lain. Sebelum kemunculan Nathan and Menon di arena perjuangan golongan pekerja ladang, CIAM hanya dilihat sebagai satu kelab eksekutif untuk golongan profesional. Tanggapan ini berubah apabila Nathan and Menon bergiat aktif membentuk kesatuan-kesatuan pekerja di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sekitar tahun 1939 dan 1940 di bawah naungan CIAM. Dengan pekerja ladang menghadapi masalah gaji, tiadaan kemudahan air bersih, ketiadaan bantuan perubatan, persekitaran yang daif dan terasing, CIAM semakin menonjol dan lantang dalam mempersoalkan keadaan orang India yang dieksplotasikan oleh golongan kapitalis. Walaupun pada lewat tahun 1940, Penguatkuasa Buruh Malaya, C.Wilson melihat CIAM sebagai orang tengah yang mampu membawa penyelesaian kepada masalah pekerja India di ladang, Kesatuan Peladang Bersatu Malaya – United Planters Association Malaya (UPAM) pula semakin rimas dengan campur tangan CIAM dalam urusan pekerja ladang.
Dari tahun 1933 hingga 1936 harga getah melonjak tinggi sebanyak 250 peratus ekoran perkembangan industri automobil di Amerika. Permintaan getah juga tinggi dalam industri berat di Eropah yang dimangkinkan oleh Perang Dunia Kedua pada tahun awal 1939an. Berikutan mogok di kalangan pekerja ladang Cina di sekitar tahun 1937, UPAM sudah mula celik terhadap pekerja yang mahukan perubahan. Pekerja ladang India juga tidak ketinggalan bermogok secara sporadik di akhir tahun 1940 dan awal tahun 1941 apabila akhbar Tamil memuatkan berita keuntungan yang berlipat ganda yang dikaut oleh kapitalis hasil jualan getah. UPAM yang hanya bermatlamat untuk mengaut keuntungan yang sebanyak mungkin terpaksa bersetuju pada Januari 1941 untuk menaikkan gaji 50 sen kepada 55 sen untuk pekerja lelaki India dan 40 sen kepada 45 sen untuk pekerja wanita India berkuatkuasa pada 1 Februari 1941.
Kenaikan ini tidak membawa sebarang makna akibat inflasi dan kenaikan harga barangan keperluaan ekoran permintaan getah tinggi. Malahan, gaji ini tidak setimpal dengan gaji yang dibayar kepada pekerja Cina iaitu sebanyak 65 sen. Rata-rata pekerja tidak berpuashati dengan kenaikan yang dicadangkan oleh UPAM.
Sedang golongan pekerja tidak berpuas hati dengan gaji, pada akhir bulan Januari 1941 seorang penoreh getah bernama Vellayan dari Ladang Midlands telah dihentikan kerja kerana enggan melakukan kerja lebih masa. Vellayan juga merupakan Setiausaha Kesatuan Pekerja Ladang Sungai Rasau yang merupakan salah satu cabang KDIU. Pada 2 Februari 1941, setelah bertemu dengan Vellayan di Ladang Midlands, R.H Nathan dan jawatankuasa KDIU memutuskan tindakan mogok sebagai membantah pemecatan Vellayan.
Pada 3 Februari 1941, Vellayan telah dipanggil untuk diberi gaji tetapi Vellayan bertegas enggan menerima gaji dan meninggalkan estet tersebut. Justeru itu pada keesokkan harinya, seramai 300 pekerja Ladang Midlands daripada West Division bermogok sebagai menyokong tindakan Vellayan. Surat protes telah dihantar kepada Agen Kerajaan India di Malaya, Penguatkuasa Buruh Malaya (Controller of Labourers) dan pihak Pengurusan Ladang Midlands. Nathan and Menon telah dilaporkan menemui pekerja pada waktu malam. R.K Thangiah, seorang lagi aktivis, membantu Nathan dan Menon untuk menguruskan bantuan kewangan untuk pekerja yang mogok. Pekerja menerima $20 daripada Klang Rubber Manufacturing Workers Association dan beras daripada pekerja ladang yang berhampiran. Walaubagaimanapun, mogok ini hanya bertahan sehingga 12 Februari 1941.
Selepas mengkaji kekuatan dan kelemahan mogok di Ladang Midlands, pada 13 Februari 1941, Nathan mengadakan perjumpaan dengan Vellayan bersama 60 pekerja ladang Midlands. Nathan berpendapat untuk melumpuhkan solidariti kapitalis, mogok perlu dilancarkan secara serentak di semua ladang. Nathan juga berpendapat setiap ladang mesti diwakili oleh satu jawatankuasa yang mempunyai kuasa untuk mengambil keputusan semasa berunding dengan pihak majikan. Pada perjumpaan itu, Nathan dan Menon memformulasikan tuntutan yang bakal dijadikan wadah perjuangan pekerja di semua ladang di Selangor.
Tuntutan itu adalah :
1. Pembayaran gaji sama dengan pekerja ladang kaum Cina
2. Penyingkiran kakitangan estet Tamil Ceylon (Sri Lanka) and Malayalee yang agresif dan “brutal”. Mereka perlu diganti dengan kakitangan Tamil dari India.
3. Pendidikan untuk anak pekerja
4. Ganguan seksual kakitangan estet terhadap golongan pekerja wanita perlu dihentikan
5. Bantuan perubatan
6. Penutupan kedai todi
7. Kebebasan untuk bersuara dan berkumpul
8. Bebas bertemu dengan rakan dan saudara mara di luar kawasan ladang
9. Pekerja tidak harus turun daripada basikalnya semasa melalui di hadapan kakitangan estet
10. Pemansuhan waktu kerja 10 hingga 12 jam sehari
11. Pekerja yang mengadu tentang masalah kerja tidak harus dijadikan mangsa dan dihukum
12. Kebenaran untuk membentuk kesatuan atau persatuan untuk mewakili kepentingan pekerja
Dalam perjumpaan itu juga Nathan gusaran dan meramal mungkin ditangkap oleh kerajaan dan meminta agar pekerja terus berjuang kiranya Nathan dan Menon diberkas. Katanya,
“Menon dan saya mungkin akan ditangkap, kami pasti. Sekiranya kami ditangkap, kalian perlu teruskan mogok sehingga kami bebas”
Pada 18 Februari 1941, satu lagi perjumpaan diadakan oleh KDIU dan dihadiri oleh pekerja dari Ladang Morton, Tanah Bahru, Bukit Kamuning and Damansara. Keputusan diambil untuk menghantar 12 tuntutan tersebut kepada semua pengurus ladang di lembah Kelang. Sekiranya tuntutan ini ditolak, maka pekerja akan melancarkan mogok.
Menjelang bulan Mac 1941, kerajaan dan UPAM semakin gusar dengan aktiviti Menon dan Nathan. Pekerja ladang seakan akan diberi suntikan dan nafas baru. Mereka tidak lagi turun daripada basikal mereka apabila lalu di hadapan majikan mereka. Tindakan pekerja memboikot kedai todi di ladang menyebabkan pengurusan estet kerugian besar dalam penjualan todi. Pekerja juga dengan berani membantah kakitangan yang menganggu anak perempuan dan bini mereka. Pekerja tidak lagi rela melihat anak bini mereka menjadi habuan seks rakus kakitangan estet. UPAM dan kerajaan British semakin tertekan dengan laporan laporan pengurus ladang yang tidak menyenangkan. Pekerja imigran yang selama ini hanya dilihat sebagai “pak turut”, sudah sedar dari lenanya! Seperkara lagi, apa yang amat ditakuti selama ini oleh UPAM dan kerajaan sudah mula dikesan di kalangan pekerja ladang....Semangat Bersatu! Pekerja sudah bersatu dengan satu suara menuntut pembaharuan. Dengan nada yang seiring, mereka mahukan 12 tuntutan yang diutarakan oleh Nathan and Menon dipenuhi dengan segera oleh majikan.
Pada 2 Mac 1941, dalam satu perjumpaan pekerja di Kampung Jawa, Menon berkata,
"Sebelum pembentukan kesatuan ini, ramai yang bertanggapan kapitalis itu Tuhan dan kita sebagai hamba. Sekarang 25 peratus daripada kamu sudah sedar . Kita adalah orang India dan bukan hamba kepada sesiapa pun. Pada masa akan dating, kita harus berkerjasama dalam perjuangan sehingga majikan ladang menyedari yang kita juga insan manusia! “
Nathan pula memberi amaran bahawa golongan kapitalis akan memecahkan solidariti pekerja.
"Kebanyakan kuli sudah mula memahami perbezaan antara pekerja dan kapitalis. Solidariti adalah kata kunci perjuangan ini. Majikan di estet mula memecah-belahkan kita, tapi kita tidak harus meloloskan ini. Saya kuatir, Menon dan saya akan menghadapi masalah. Kalian perlu bersatu dan percaya dengan kami”
Pada hari yang sama pekerja Ladang Glenmarie buat pertama kali bermogok menuntut kenaikan gaji dan kondisi tempat tinggal yang baik. Nathan dan Menon dilaporkan berjumpa dengan pekerja ladang pada 28 Februari dan 1 Mac 1941. Mereka menuntut 70 sen dibayar untuk pekerja lelaki dan 60 sen untuk pekerja wanita. Bagaikan api mogok ini mula merepak ke Ladang Midlands apabila 8 pekerja estet dihentikan dan diusir daripada ladang mereka pada 4 Mac 1941. Gopal, Palaniandy, Karuppan, Periasamy, Murugesan, Gengan. Muthiah dan Samikannu diberkas kerana enggan meninggalkan ladang Midlands selepas diberi notis pengusiran 24 jam.
Ekoran kejadian ini, pada 11 Mac 1941, J.D Dalley, Pengarah Penyiasatan Jenayah (Director of Criminal Intelligence) mencadangkan Residen British Selangor, Major Kidd untuk menangkap R.H Nathan, Y.K Menon dan R.K Thangiah di bawah Peraturan Darurat. Walaupun cadangan ini mendapat sokongan daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaya Shenton Thomas yang meluluskan waran tangkap untuk Nathan, Menon dan Thangiah, Penguatkuasa Buruh Malaya, C.Wilson berpendapat kelulusan waran tangkap ini perlu dilengahkan kerana berpendapat ianya akan mengeruhkan keadaan dan melumpuhkan usaha CIAM untuk menyelesaikan masalah pekerja. Pandangan Wilson disokong oleh Residen Selangor Major Kidd dan Penasihat Undang Undang Persekutuan Tanah Melayu, Adrian Clark. Kerana perbezaan pendapat inilah, Wilson dipaksa untuk bersara oleh Shenton Thomas selepas mogok Kelang reda.
Pada 25 Mac 1941, semasa perbicaraan lapan orang yang diberhentikan dari Ladang Midlands, 200 pekerja hadir untuk memberikan sokongan. Keadaan mahkamah menjadi kecoh apabila keputusan hukuman dua bulan penjara dijatuhkan kepada pekerja pekerja tersebut. Pekerja-pekerja yang hadir untuk memberi sokongan, memprotes dengan bertindak "duduk dan bantah" dan tidak meninggalkan ruang mahkamah ala protes seperti yang dilakukan pengikut pengikut Mahatma Gandhi di India. Melihat keadaan ini, hakim terpaksa akur dengan desakan rakyat dan membebaskan pekerja dengan wang jaminan. Kejayaan ini memberikan aspirasi dan pengertian baru kepada pekerja yang menyedari mereka mampu mengubah keadaan mereka sekiranya mereka bersatu. Agen Kerajaan India C.S Venkatachar mengkritik tindakan kerajaan British Malaya menggunakan undang-undang sebagai instrumen untuk melumpuhkan mogok.
Menyedari kerajaan British perlu melakukan sesuatu, pada 27 Mac 1941, C.Wilson mempelawa Presiden CIAM, N.Raghavan dan Timbalan Presiden K.A Neelakanda Aiyer melawat estet –estet yang terlibat. Pada keesokannya, satu perjumapaan diadakan antara N.Raghavan dengan Pengerusi Peladang Daerah Kelang yang juga Pengurus Ladang Sungai Way, T.E Upton untuk membincangkan kenaikan gaji dan memulihkan keadaan mogok.
Berikutan perjumpaan ini pada 9 April 1941, UPAM bersetuju and mengumumkan kenaikan gaji sebanyak 60 sen untuk pekerja lelaki India dan 50 sen untuk pekerja wanita India. Presiden CIAM N. Raghavan menasihatkan pekerja untuk kembali berkerja. Dengan ini berakhirlah fasa pertama Mogok Kelang. Berikutan persetujuan ini, UPAM melihat kerajaan British sudah lemah dan tidak lagi dapat mengekang tuntutan pekerja. Malah UPAM menyifatkan keputusan ini satu pengkhianatan kepada British di Malaya. Ini kerana CIAM mempunyai hubungan baik dengan Kongres Nasional India yang memboikot pengerahan sukarelawan sebagai tentera untuk membantu koloni British menghalang kemaraan Jerman. (Dalam Perang Dunia Pertama. KNI menyokong pengerahan sukarelawan India yang membantu British berperang menentang tentera Jerman. Seramai lebih kurang satu juta sukarelawan rakyat India yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama)
Kenaikan gaji ini merupakan satu peningkatan yang dapat membantu memulihkan ekonomi pekerja tetapi terdapat sesuatu yang dinilai lebih daripada wang duit oleh pekerja...Maruah dan Jati Diri! Mereka merasai diri mereka perlu dilayan sebagai manusia. Momentum anti-kapitalis yang terjana memberi kesedaran kepada golongan pekerja. Mereka sedar hanya satu bahasa yang difahami oleh golongan kapitalis dan kerajaan British iaitu “mogok”. Mereka sedar mogok adalah satu-satunya senjata yang dapat menundukkan keangkuhan kapitalis. Semua ini mereka pelajari daripada Nathan dan Menon yang disifatkan sebagai “pengacau” oleh golongan kapitalis dan kerajaan British.
Pada 11 April 1941, mogok dilaporkan di kebanyakan estet di Kelang, Kuala Langat dan Kuala Selangor. Ini menandakan sudah mulanya fasa kedua "Mogok Kelang". Pengurusan estet pula memberi tentangan dalam pelbagai rupa. Contohnya, bekalan air dipotong di Ladang Whiteareas, Damansara dan Blackareas.
Pada 15 April 1941 akhbar tempatan melaporkan mogok merebak secara sporadik di kebanyakan estet. Mogok di Ladang Highlands sebagai membantah penyingkiran empat orang pekerja. Mogok di Ladang Carey untuk menuntut satu jam sebagai waktu rehat makan yang sekian lama cuma hanya 30 minit sahaja. Di Ladang Port Swettenham pula, pekerja bermogok menuntut agar bendera Kongress Nasional Indian dikibarkan di pintu masuk estet dan gambar Gandhi digantung di semua rumah termasuk pejabat ladang.
Pada 18 April 1941 pula, pekerja Ladang North Hammock bermogok membantah tindakan penolong pengurus menghalang pekerja daripada memakai topi Gandhi.
Pada 26 April 1941, Nathan dalam satu perjumpaan dengan pekerja berkata;
" Jangan lupa semangat bersatu adalah senjata kita. Pakailah apa yang kalian mahu kerana itu adalah hak kalian. Pakailah topi Gandhi jika kalian mahu..jangan tanggalkannya. Jangan turun daripada basikal kalian sekiranya lalu depan kakitangan estet. Usah takut tempat kalian akan diambil-alih oleh orang Cina dan Jawa kerana negara kekurangan pekerja. Masa ini amat kritikal untuk memastikan tuntutan kalian dipenuhi.”
Mogok semakin merebak. Dilaporkan pada 1 Mei 1941, pekerja di sembilan ladang – Ladang Sungei Buluh, Ladang Brooklands, Ladang Bukit Chedang, Ladang Vallambrose, Ladang Bukit Panjang, Ladang Bukit Chu, Ladang Bukit Cheraka, Ladang Beveriac bermogok.
Untuk mengawal keadaan pada 6 Mei 1941, Nathan ditahan di bawah Akta Buang Negeri. Nathan dituduh melakukan aktiviti subvesif terhadap kerajaan British yang mampu melumpuhkan usaha perang kerajaan British Malaya. Menon terlepas kerana pertukaran kerja ke Singapura.
Sebagai membantah penahanan Nathan, seramai 300 pekerja berarak ke Kuala Lumpur dan berdemo di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Buruh pada 7 Mei 1941.
Melihat perkembangan ini, UPAM semakin kritikal terhadap kelemahan kerajaan menangani mogok. UPAM menyalahkan kerajaan Malaya terutama Penguatkuasa Buruh Malaya,Wilson, kerana gagal untuk memaksa pekerja untuk kembali bekerja. UPAM juga mahu kerajaan menggunakan kuasa polis untuk membanteras mogok walaupun permintaan ini ditolak oleh Wilson. Pengerusi UPAM, S.B Palmer dalam perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Shenton Thomas, pada 6 Mei 1941, menyelar kerajaan Malaya yang tidak lagi berupaya mengekang mogok. Palmer memberi amaran sekiranya mogok tidak dihentikan, ianya akan menular mengakibatkan kemerosotan ekonomi British yang bakal akan membawa kepada kelumpuhan usaha perang untuk memperkasakan British menghadapi kemaraan Jepun. Wilson pula terus mempertahankan CIAM dengan alasan Nathan dan Menon adalah cuma golongan prihatin yang mahukan perubahan yang munasabah untuk golongan pekerja.
Bantahan terhadap penahanan Nathan juga berlaku di ladang-ladang. Pada 8 Mei 1941, pekerja Ladang Bukit Panjang Estate dengan bersenjatakan kayu dan batu bata menyekat cubaan pengurus estet mengeluarkan satu konsimen getah. Kerana gagal mengeluarkan konsimen tersebut, Pengurus A.J Gomm telah meminta bantuan polis. Pada hari keesokannya, seramai 160 orang polis telah dikerah untuk membantu pengurus. Perhimpunan pekerja yang membantah pengeluaran getah itu dileraikan dengan serangan ganas kayu belantan oleh pihak polis. Lapan pekerja cedera dalam serangan tersebut. Seramai 500 hingga 600 pekerja yang cuba menghalang empat buah lori yang membawa keluar getah tersebut bertembung dengan polis. Pekerja dikatakan bersenjatakan kayu, batu, botol, tombak dan rod besi. Dalam serangan itu dua orang pekerja dari Ladang Bukit Cheraka dan Ladang Highlands, Rengasamy dan Yellumalle terkorban.
Dalam keadaan yang semakin meruncing, pada 10 Mei 1947 Pesuruhjaya Tinggi Malaya Shenton Thomas mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan tentera British yang ditempatkan untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun. Pada mulanya, Thomas telah meminta bantuan tentera Australia tetapi permintaan itu ditolak oleh tentera Australia atas dasar prinsipnya. Tentera Australia enggan bertembung dengan golongan pekerja kerana ia hanya ditugaskan untuk menentang kemaraan Jepun. Kecewa dengan reaksi tentera Australia, Thomas meminta pula bantuan tentera British India yang ditempatkan di Ipoh. Tanpa banyak soal, tentera British India yang kebanyakannya dianggotai orang India setuju dengan permintaan Thomas. Bagaikan kata pepatah, menggunakan jari sendiri untuk mencucuk mata, kaum India sendiri digunakan untuk menentang kaum India. Selain itu, Pasukan Askar Melayu dari Singapura juga dikerah untuk mengekang kebangkitan pekerja. Jelas keputusan untuk mengerah askar British India untuk menghalang kebangkitan pekerja India dibuat tanpa memikirkan implikasi dan kesannya terhadap pemerintahan British di India.
Tetapi British mengakui bukan mudah untuk mengekang mogok pekerja yang sudah menular jauh meresapi setiap pelusuk estet-estet di Selangor dan Negeri Sembilan. Pemimpin pekerja dikatakan mengayuh basikal menyebarkan berita mogok dan meminta pekerja menyokong mogok di ladang-ladang di Selangor. Pada 11 Mei 1941, seramai 150 pekerja berarak berjalan dan menaiki basikal dari Kuala Selangor ke Sepang. Sepanjang perjalanan itu, banyak kedai todi dimusnahkan termasuk sebuah sebuah kilang di Telok Merbau.
Keadaan menjadi genting di Kelang apabila sekumpulan pekerja berkumpul di Balai Polis Kelang menuntut pembebasan pemimpin pekerja pada 12 Mei 1941. Polis meleraikan kumpulan pekerja tersebut dengan menggunakan kekerasan. Ketua Polis Selangor H.B Langworthy turut tercedera bersama sepuluh orang anggota polis dan 20 orang pekerja.
Pada 13 Mei 1941, mogok dilaporkan di sepuluh estet sekitar di Kuala Lumpur. Tiga puluh pekerja disabitkan di Mahkamah Kelang dan direman atas kesalahan berkaitan dengan mogok. Juga dilaporkan talian telefon di kebanyakan kawasan Kelang diputuskan oleh pekerja yang sedang bermogok. Di Ladang Raja Muda, kereta kebal dibawa untuk membantu untuk meleraikan 300 pekerja yang bermogok.
Pada 14 Mei 1941 mogok dilaporkan di 38 ladang daripada 53 ladang di Kuala Selangor, 20 ladang daripada 24 ladang di Kuala Langat, 35 ladang daripada 43 ladang di Kelang dan 27 ladang di Kuala Lumpur. Sejumlah 120 ladang dilaporkan sedang bermogok. Antara 120 ladang yang dilaporkan adalah seperti berikut:
Ladang Beveriac, Ladang Blackacres, Ladang Brooklands, Ladang Bukit Cheedong, Ladang Bukit Cheraka, Ladang Bukit Chu, Ladang Bukit Kamuning, Ladang Bukit Panjang, Ladang Carey Island, Ladang Damansara (Batu 7), Ladang Effingham, Ladang Glenmarie, Ladang Haron, Ladang Highlands, Ladang Kundang, Ladang Mary, Ladang Batang Berjuntai, Ladang Midlands, Ladang Morton, Ladang North Hummock, Ladang Philmoor Estate, Ladang Port Swettenham, Ladang Raja Muda, Ladang Seaport, Ladang Seafield, Ladang Sungai Buluh, Ladang Sungai Sedu, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Sungai Rasau, Ladang Sungai Way, Ladang Tanah Bharu, Ladang Telok Datok, Ladang Telok Ganting, Ladang Vallembrose, Ladang Whiteacres, Ladang Wilkinson, Ladang Tremelbye, Ladang Batu Tiga, Ladang Bukit Badak dan Ladang Bukit Darah.
Dianggarkan 20 ribu pekerja dari 120 ladang tersebut telah mengambil bahagian dalam mogok ini.
Pada 15 Mei 1941, di samping 3000 pekerja Ladang Kumpulan Sochin dilaporkan mogok, kemelut berdarah yang berlaku Ladang Brooklands yang melibatkan 900 pekerja dianggap paling parah dalam sejarah perjuangan pekerja. Pekerja Ladang Brooklands dan Sungai Sedu menahan Pengurus Ladang Sungai Sedu, C.B Wheeler di kediaman milik Pengurus Ladang Brooklands, P.C Fisher. Pekerja berkumpul mengelilingi kediaman pengurus menuntut pembebasan Nathan yang masih ditahan polis. Pekerja bertekad hanya akan membebaskan Wheeler and Fisher sekiranya Nathan dibebaskan.
Gagal untuk meleraikan keadaan, OCPD Forbes Wallace meminta bantuan tentera British India. Dibawah arahan Major Howes Roberts, tentera melepaskan tembakan terhadap kumpulan pekerja. Dalam serangan ini tiga pekerja terkorban – Mayandi, Angappan dan Konneri. Tujuh pekerja cedera parah dan seramai 124 orang ditahan dan dihadapkan ke mahkamah pada 3 Jun 1941.
Keadaan yang semakin merosot menyebabkan kerajaan British mengumumkan darurat di Selangor pada 16 Mei 1941. Polis dan tentera melancarkan operasi “pembersihan” yang sistematik secara besar-besaran. Dalam operasi tersebut ramai pemimpin buruh diberkas di tengah malam antara pukul 1 pagi dan 6 pagi tanpa pengetahuan pekerja pekerja lain. Mereka ditahan dan disabitkan dengan kesalahan di bawah peraturan darurat. Operasi ini dilanjutkan sehingga 24 Mei di mana 90 peratus pemimpin buruh berjaya ditahan.
Menjelang 17 Mei 1941, seramai 20 orang pemimpin buruh di Ladang Teluk Ganting di Pulau Carey ditahan. 16 lagi ditahan di Klang. Pada hari yang sama R.H Nathan telah dibuang negeri ke India. Pada 18 Mei 1941, polis menahan 21 pemimpin buruh di Ladang Damansara. Pada 19 Mei 1941, 200 polis melancarkan operasi mengejut menahan 12 pemimpin buruh di Ladang Seaport pada malam buta.
Penahanan pemimpin buruh secara besar besaran ini melumpuhkan mogok di kebanyakan estet. Menjelang 22 Mei 1941, hanya sebahagian pekerja di Ladang Carey Island keluar mogok membantah penahanan 25 pemimpin buruh. Pada keesokannya, semua pekerja dilaporkan kembali bekerja seperti biasa. Sebagai menyangkal kebangkitan pekerja, akhbar bahasa Inggeris melaporkan kegiatan memeras ugut merupakan antara faktor utama yang menyebabkan pekerja menyokong mogok selama ini.
Selain penahanan pemimpin buruh, seramai 500 pekerja Ladang Wilkinson di Kuala Lumpur dibuang kerja pada 24 Mei 1941.
Menjelang akhir Mei 1941, “Mogok Klang” seolah-olah sudah berjaya dimatikan oleh kerajaan yang bersekongkol dan akur dengan kehendak kapitalis. Mogok ini memperlihatkan nyawa enam pekerja terkorban, 21 pekerja telah dibuang negeri ke India, 95 pekerja dihantar pulang ke India atas permintaan, 300 pekerja ditahan dan dipenjara dan 186 pekerja dibebaskan dengan syarat tidak kembali ke ladang mereka. Sebagai menghukum kaum pekerja, kenaikan gaji yang dipersetujui oleh UPAM tidak ditunaikan. Gaji kekal di paras asal iaitu 50 sen untuk lelaki dan 45sen untuk wanita. Setelah Nathan dibuang negeri, dalam perutusan rasminya, kerajaan British Malaya menyifatkan R.H Nathan sebagai pengkhianat kepada empayar British dan punca kepada rusuhan pekerja di Selangor. Penguatkuasa Buruh Malaya, Wilson dipaksa untuk bersara kerana menyokong kebangkitan pekerja ladang. Walaupun kerajaan India British menekan kerajaan Malaya untuk mengadakan inkus terbuka, tetapi Shenton Thomas terus berdolah dalih. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan persiapan untuk menghadapi tentera Jepun. Perang Dunia Kedua yang terletus di Pasifik melenyapkan terus kebangkitan pekerja di Malaya.
Sudah lebih tujuh dekad insiden ini berlalu. Mereka yang masih ingat raut wajah Rengasamy, Yellumalle, Mayandy, Anggapan dan Konneri tidak lagi bersama kita sekarang. Wajah pejuang pekerja ini mungkin sudah dilupakan tapi nama mereka masih lagi dikenang. Bagi mereka yang menyelar dan mempersoal kita terlalu taksub dengan barat untuk menimbah inspirasi untuk Hari Pekerja, sini saya persembahkan nama pejuang pekerja ini sebagai mengganti Lingg, Spies, Fischer, Engel dan Parsons. Walaupun mereka berlainan bangsa, negara dan agama tetapi perjuangan mereka tetap sama.